Selangorkini
SELANGOR

KKB Football Jamboree 2017 kembali lagi

KUALA KUBU BAHRU, 1 NOV: Kejohanan KKB Football Jamboree 2017, sebuah karnival bolasepak mengumpulkan pasukan di seluruh negara kembali lagi, pada 25 dan 26 November ini.

Bertempat di Stadium Millenium Kuala Kubu Bharu, kejohanan kali ini diperbaharui dengan format lima sebelah sepasukan menjanjikan permainan berlangsung pantas penuh dengan aksi dan strategi dengan setiap perlawanan berlangsung 10 minit.

Sebanyak 100 pasukan dijangka mengambil bahagian dalam lima kategori dipertandingan membabitkan Junior Bawah 12 tahun, Remaja Bawah 14 dan 16 tahun, Wanita Terbuka dan Masters 40 tahun keatas.

Kategori dipilih berdasarkan prinsipal Football Jamboree ini membantu menyediakan sokongan kepada industri bolasepak di peringkat akan umbi dengan aktiviti berunsur pembangunan bolasepak seperti seminar, bengkel, kursus, klinik termasuk pertandingan.

Pengasas Movement Football Jamboree, Al Wafique berkata, idea dan konsep diketengahkan bertujuan menggubah paradigma semua yang terlibat dalam bolasepak untuk berfikiran positif dan memberi komitmen memperbaiki bolasepak negara bermula daripada akar umbi.

“Amatlah rugi jika orang terlibat dalam ekosistem bolasepak berfikiran begitu sterotype dan sentiasa berfikiran negatif.

“Football Jamboree adalah landasan untuk semua bermula mengubah yang negatif,” kata Al Wafique yang juga pemilik syarikat pengurusan acara Sharityworld.

Kejohanan Football Jamboree akan menjalani siri jelajahnya bermula di Kulim, Kedah pada Januari 2018.

Pasukan berminat boleh melayari sesawang www.sharityworld.com untuk mendaftar secara dalam talian atau membuat pesanan di talian 011-10696 753 sebelum tarikh tutup penyertaan pada 15 November ini.

 

 

 


Pengarang :