GLOBAL

Komunikasi satelit petunjuk kru kapal selam hilang mungkin hidup

GLOBAL 19 NOV: Harapan untuk melihat kesemua 44 kru kapal selam San Juan masih hidup semakin meningkat apabila Kementerian Pertahanan mengesahkan terdapat cubaan untuk menghubungi pihak tentera dengan menggunakan satelit.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan jurucakap kementerian berkenaan berkata, pihaknya mengesan tujuh cubaan panggilan yang gagal, dipercayai dilakukan kru kapal San Juan, semalam.

Menurut beliau, isyarat itu yang dikesan lewat pagi dan awal tengah hari Sabtu, berlaku antara tempoh empat hingga 36 saat.

Kerajaan Argentina kini sedang berusaha mengesan lokasi sebenar kapal selam itu dengan bantuan sebuah syarikat komunikasi satelit milik Amerika Syarikat (AS) yang dirahsiakan identitinya.

Jenis panggilan terbabit bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan namun kapal selam yang terperangkap di dasar laut memiliki keupayaan untuk mengapungkan peranti lokasi, dikenali sebagai EPIRB ke permukaan air, sebelum memancarkan isyarat kecemasan melalui satelit.

Terdahulu, misi mencari dan menyelamat kapal selam berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan angin kencang serta keadaan laut Selatan Atlantik yang bergelora dengan ketinggian ombak hampir mencecah 6 meter.

Lokasi terakhir kapal buatan Jerman itu dikesan ialah pada jarak 432 kilometer dari perairan Selatan Atlantik, awal pagi Rabu lalu.

=EZY=


Pengarang :