Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Kota Darul Ehsan simbol kedaulatan, pintu masuk ke negeri termaju

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 NOV: Gerbang Kota Darul Ehsan bukan sahaja pintu masuk utama ke sebuah negeri termaju, dinamik, kosmopolitan yang kaya dengan budaya dan khazanah warisan, malahan merupakan simbol kedaulatan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, maka memang wajar Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor berbangga dengan kemegahan pintu gerbang yang siap dibina pada Januari 1982 itu.

“Brandenburger Tor atau Brandenberg Gate di Berlin adalah pintu gerbang terkenal di dunia yang menarik jutaan pelancong seluruh pelusuk dunia dan pintu gerbang tersebut adalah kebangaan rakyat Jerman yang menjadi indentiti Kota Berlin dan ‘signature attraction’ – menjadi destinasi utama pelancong yang berkunjung ke Berlin.

“Perasaan ini juga dizahirkan oleh rakyat Selangor terhadap Kota Darul Ehsan di mana ia adalah senibina kebanggaan rakyat Selangor yang menjadi jati diri watan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan di Hotel Hilton, di sini, malam tadi.

Katanya, senibina Kota Darul Ehsan menggabungkan ciri senibina Islam Andalusia atau Moorish Architecture dan ciri-ciri tempatan.

Katanya, senibina ini sejajar dengan jati diri Selangor yang global dan kosmopolitan tetapi pada masa sama berakar dengan budaya dan resmi tempatan.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memelihara dan melindungi gerbang kedaulatan negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :