Selangorkini
PELANCONGAN SELANGOR

Laman Seni 7 produk pelancongan seni Shah Alam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 NOV: Keunikan Laman Seni 7 sebagai destinasi produk pelancongan seni Shah Alam bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat setempat, tetapi turut digunakan selebriti tempatan untuk berkarya.

Antaranya, Juara AF Megastar, Idayu memilih latar konsep seni jalanan, Laman Seni 7 bagi tujuan pengambaran muzik video lagu terbarunya, ‘Selamanya’.

Pemilihan latar dalam video muzik berkenaan memaparkan suasana lukisan mural dengan persekitaran hujan, di samping persembahan penuh emosi ditunjukkan penyanyi bersuara lantang itu.

Difahamkan, muzik video berkenaan akan dilancarkan di Youtube pertengahan Disember, ini.

Terdahulu, Laman Seni 7 diangkat sebagai pilihan untuk mengubah suasana lorong belakang khususnya di kawasan komersial supaya menjadi lokasi selesa dan selamat untuk produk pelancongan seni di Shah Alam.

Berkonsepkan seni jalanan, Laman Seni 7 boleh dilawati pengunjung serta boleh dijadikan lokasi penganjuran sebarang aktiviti bermanfaat seperti lukisan mural, persembahan muzik jalanan (basking) dan jualan kraftangan.

Sebelum ini, kewujudan laman seni itu dibangunkan bagi mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap kawasan lorong belakang yang tidak terurus kepada persepsi positif bagi tujuan produk pelancong seni tempatan.

Ciri menarik yang tersedia di kawasan berkenaan antaranya lukisan mural ’3D Painting’, ’3D Installation’, ‘Street Furniture’ dan ‘Painting On Site’ .

Konsep lukisan mural yang dipaparkan kebanyakannya bertemakan komuniti Shah Alam, tarikan pelancongan, kemanusiaan atau berkonsepkan kehijauan.

=EZY=


Pengarang :