Selangorkini
NASIONAL PELANCONGAN

Malaysia Airlines batalkan penerbangan Denpasar-Bali

SHAH ALAM 27 NOV: Susulan ledakan Gunung Agung di kepulauan Bali, Malaysia Airlines (MAS) membatalkan semua penerbangan antara Kuala Lumpur dan Denpasar-Bali, pada 27 November 2017.

MAS dalam satu kenyataan media berkata penumpang sudah dimaklumkan menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS), petang semalam dan nasihat penerbangan juga dimasukkan ke dalam laman web, Facebook dan Twitter Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan itu memantau rapi situasi dan akan menyelaras operasi penerbangannya yang keluar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai jika perlu, demikian menurut Malaysia Airlines dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Disebabkan situasi itu, Malaysia Airlines akan membenarkan penumpang terbabit untuk:

1. Mendapatkan bayaran balik sepenuhnya harga tiket atau penangguhan pengembaraan sehingga akhir Februari 2018.

2. Perubahan destinasi (tertakluk kepada kesediaan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi ASEAN yang dikendalikan Malaysia Airlines.

Untuk maklumat lanjut, penumpang digalakkan menghubungi talian 1 300 88 3000 (di Malaysia) atau +603 7843 4000 (bagi luar Malaysia).


Pengarang :