Selangorkini
NASIONAL

Malaysia negara tua, cadang inisiatif bantu warga emas

OLEH ERMIZI MUHAMAAD

KUALA LUMPUR, 22 NOV : Kerajaan Persekutuan disaran melaksanakan inisiatif jangka panjang bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga emas berusia 65 tahun, ke atas.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan terbaik perlu dilaksanakan memandangkan kadar pertumbuhan warga emas negara ini bakal meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh 30 tahun.

“Dalam satu forum Pasca Belanjawan 2018 lalu, salah seorang panel pengurus besar EPF Economy Capitals Market mengatakan Malaysia hanya mengambil masa 25-30 tahun untuk menjadi negara tua, iaitu antara negara pantas di dunia.

“Panel itu mendedahkan lebih 15 peratus penduduk Malaysia akan berusia 65 tahun ke atas berbanding lapan peratus ketika ini, sekaligus menyaksikan peruntukan sektor kesihatan meningkat sejajar dengan pertumbuhan penduduk lebih tua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ketiga Belas di Dewan Rakyat, pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, faktor itu turut menuntut Kerajaan Persekutuan terpaksa membelanjakan peruntukan besar untuk menyediakan lebih banyak hospital serta inisiatif bantuan kos sara hidup untuk golongan itu.

“Namun apakah inisiatif lebih awal untuk pastikan ada usaha lebih cepat untuk lakukan cara bagi menyelesaikan isu ‘non communicable diseases’.

“Isu ini sekiranya gagal diselesaikan lebih awal, kos perubatan akan terus menjadi menjadi lebih tinggi dan besar berbanding sekiranya ada usaha lebih awal dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun mengakui isu berkenaan perlu dilaksanakan secara komprehansif di peringkat Persekutuan.

“Memang betul dijangkakan bahawa 15.3 peratus negara ini akan menjadi negara tua dengan paras umur rakyat yang berumur 60 tahun ke atas.

“Justeru, Kerajaan kini telah melaksanakan dasar warga emas dan pelan tindakan melibatkan pelbagai agensi termasuklah Kementerian Kesihatan yang akan melihat aspek kesihatan warga emas kita,” katanya.

=EZY=


Pengarang :