BERITA UTAMA SELANGOR

#Selangor18: Masa terbaik menggandakan pembangunan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 NOV: Barisan Exco Kerajaan Negeri menyambut baik Belanjawan 2018 dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang terus memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyifatkan ia belanjawan bertanggungjawab dan menyeluruh termasuk semua aspek persediaan sukan kita.

“Kita mengharapkan belia dan kebudayaan ada peningkatan. Sekarang apa yang kita harapkan dari semua agensi untuk melaksanakan.

“Dengan pertambahan belanjawan itu mungkin akan menambah sedikit lagi intensiti kerja,” katanya.

Menurutnya, semua rancangan yang dirangka untuk 2017 hampir 80 peratus dapat dilaksanakan.

Bagi Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib beliau melihat Belanjawan 2018 lengkap merangkumi kebaikan dan kebajikan seluruh segmen masyarakat.

“Dengan penambahan peratusan pembelanjaan pembangunan menunjukkan Kerajaan Negeri begitu komited untuk mempertingkatkan pembangunan di Negeri Selangor.

“Yang lebih menarik, lebih 70 peratus daripada belanjawan itu untuk infrastruktur. Untuk pertanian juga bagus dengan pengenalan skim insurans,” katanya.

Menyentuh aspek pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi gembira dengan pertambahan peruntukkan yang diberikan.

Ini termasuk penekankan kepentingan pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

“Alhamdulillah, satu komitmen besar Kerajaan Negeri kepada pendidikan dari semua peringkat ini kerana kita menyedari ia amat penting termasuk sumbangan untuk sekolah yang dinaikkan kepada RM22 juta berbanding RM16 juta sebelum ini.

“Kenaikan kepada RM24 juta untuk tahun akan datang khusus buat Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SJKC. Kita juga menyediakan peruntukkan untuk pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

“Ini menunjukkan komitmen kita bahawa ia sektor penting kepada pembangunan rakyat Negeri Selangor,” katanya.

Di samping itu, program Peduli Siswa Timur Tengah yang diperkenalkan bagi membantu anak Selangor yang belajar di luar negara bakal menerima sambutan baik.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri memandang pelaburan modal insan jangka panjang khususnya dalam memberikan keprihatinan terhadap nasib pelajar maahad tahfiz di Selangor.

“Belanjwan yang menyeluruh dan untuk jawatankuasa saya ia belanjawan yang baik terutamanya melibatkan pendidikan Islam.

“Saya rasa ia menjurus kepada soal jangka masa panjang. Apabila ada peruntukkan untuk sekolah tahfiz kita dinaiktaraf berdasarkan senario semasa.

“Mengenai inisiatif Peduli Siswa Timur Tengah yang diperkenalkan, ia merupakan satu talian hayat buat pelajar kita di sana. Apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuat keputusan untuk tidak menaggung pelajaran mereka maka kita mngambil tanggungjawb itu,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Gan Pei Nei memuji beberapa inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan melibatkan teknologi hijau.

“Dalam pembangunan Selangor ini kita tidak boleh lupakan alam sekitar juga perlu dikawal secara mampan.

“Dalam kita fokus kepada pembangunan kita juga perlu kekalkan aspek hijau sebab kita nampak peruntukkan juga bertambah.

“Kita juga integrasikan teknologi hijau dalam aspek pembangunan negeri termasuk pengangkutan. Kita nampak ia satu dasar yang lebih menyeluruh,” katanya.

=EZY=


Pengarang :