Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kami terhutang budi, namun tak dapat beri ‘bonus’ penjawat awam Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri sentiasa menghargai komitmen anggota perkhidmatan awam termasuk yang bertugas di bawah payung Kerajaan Persekutuan, yang bertugas di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia termasuk anggota Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, kumpulan lain termasuk mereka yang bekerja di kamar penasihat undang-undang negeri, hospital dan penjara.

“Kerajaan Negeri dan rakyat terhutang budi kepada semua penjawat awam di atas khidmat cemerlang mereka.

“Namun saya minta maaf tidak dapat memberikan bonus kepada mereka di jabatan persekutuan untuk ketika ini.

“Saya percaya dan yakin senario itu akan berubah dalam masa terdekat, pada ketika itu pegawai negeri dan persekutuan dapat pembelaan adil dan saksama,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Hasil dan Belanjawan Negeri Selangor, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2018, Mohamed Azmin mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan bagi penjawat awam berupa tiga bulan gaji, dengan peruntukan RM94.65 juta.

Pembayaran dua bulan sudahpun dilakukan pada pertengahan Jun lalu sempena Eidul Fitr sementara baki sebulan akan dibayar pada 21 Disember ini.

Sementara itu, Kerajaan Persekutuan ketika Bajet 2018 mengumumkan bayaran khas RM1,500 kepada penjawat awam.

Ia akan disalurkan dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 dan RM500 lagi menjelang sambutan Eidul Fitr tahun hadapan.

=EZY=


Pengarang :