Selangorkini
PBT SELANGOR

MPS kutip 77.27 juta cukai taksiran

OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berjaya mengutip cukai taksiran semasa 2017, berjumlah RM77.27 juta, iaitu 77 peratus daripada RM100.42 juta, setakat 30 September lalu.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, sejumlah RM5.41 juta bersamaan 60 peratus pula berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan cukai taksiran keseluruhan RM8.98 juta.

Katanya, MPS sudahpun mengeluarkan notis (Borang E) kepada pemilik yang masih mempunyai tunggakan cukai taksiran, pada 1 September lalu.

“Kepada pemilik yang ingin menjelaskan tunggakan cukai taksiran, pemilik layak diberi pertimbangan pengurangan waran tahanan bagi bayaran secara penuh atau ansuran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penuh MPS, di Ibu Pejabat MPS, di sini, semalam.

Suliman berkata, sebanyak 50,812 notis dikeluarkan dan tempoh tamat pada 30 September lalu.

“Tindakan waran tahanan bernilai RM100 juga sudah dilaksanakan kepada pemilik yang masih mempunyai tunggakan bermula 1 Oktober lalu,” katanya.

Maklumat mengenai kelayakan pengurangan boleh diperolehi di kaunter bayaran cukai taksiran MPS.

=EZY=


Pengarang :