Selangorkini
SELANGOR

Nama Kem Ghafar Baba kekal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 NOV: Kem Ghafar Baba sudah siap secara fizikal dan sedia diserahkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri juga menerima pelbagai cadangan untuk menukar nama kem berkenaan kepada nama lain.

“Namun, saya dengan tegas dan penuh keihklasan ingin menyatakan Kerajaan Negeri ambil keputusan untuk tidak menukar nama Kem Ghafar Baba.

“Ia sebagai menghormati dan hargai sumbangan besar almarhum kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian begi memberi maklum balas Kerajaan Negeri ketika sesi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2018, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan kem berkenaan sudah disiapkan Jabatan Kerja Raya.

Katanya, ia sudah diserahkan kepada Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan akan diserahkan kepada MPAJ untuk membuat kelengkapan sudut dalaman bagi kemudahan orang ramai.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba adalah Timbalan Perdana Menteri bermula 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993.

Beliau juga pernah menyandang jawatan tertinggi dalam Umno antaranya Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Penerangan dan Ahli Majlis Tertinggi.


Pengarang :