Selangorkini
NASIONAL

PAKATAN mohon kelulusan undian RUU Perbekalan KPDNKK disemak

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengemukakan permohonan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Padikar Amin Mulia supaya keputusan undian belah bahagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang sudah diluluskan disemak semula.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, beliau mengemukakan usul di bawah Peraturan 43 Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi mempertimbangkan dan menyemak semula keputusan undian yang sudah diluluskan, pada Isnin lalu.

“Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin seharusnya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Undi empat Ahli Dewan Rakyat yang lewat hadir seharusnya ditolak dan pengiraan semula dilakukan untuk mengesahkan keputusan yang tepat dalam pengundian belah bahagi ini,” katanya.

Dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, beliau menjelaskan masa pengundian telah dipanjangkan yang menyaksikan Ahli Parlimen lewat masuk dibenarkan untuk mengundi.

Ahli Parlimen Barisan Nasional yang didakwa lewat adalah Datuk Raime Unggi (Renom), Datuk Koh Nai Kwong (Alor Gajah), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera).

Katanya, tindakan Hamzah yang hadir ke meja setiausaha semasa undi di kira adalah salah kerana dibawah peraturan Majlis Mesyuarat tiada peruntukkan yang membenarkan Ahli Dewan Rakyat hadir di meja setiausaha dan melibatkan diri dalam apa jua proses pengiraan undi.

“Peraturan turut menjelaskan hanya Ahli Dewan Rakyat yang ada pada masa itu sahaja boleh mengundi.

“Tiada peraturan yang membolehkan Dewan Rakyat menunggu untuk Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada satu pihak hadir selepas mana keputusan dibaca,” katanya.

Dalam surat berkenaan Gobind turut membekalkan senarai nama 52 Ahli Parlimen Pembangkang yang menolak Rang Undang-Undang itu, bukan 51 seperti diumumkan sebelum ini.


Pengarang :