Selangorkini
SELANGOR SUKANKINI

Pemain Akademi Merah Kuning hampir cecah 900 pemain

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 NOV: Selangor dijangka terus menjadi pengeluar utama pemain pelapis dalam sukan bola sepak negara ekoran perkembangan program pembangunan pemain muda dalam Akademi Merah Kuning yang sangat memberangsangkan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, sehingga kini hampir 900 pemain muda menyertai akademi yang menempatkan pemain berusia antara tujuh hingga 16 tahun itu.

“Sekarang, kita ada sekitar 800 hingga 900 pemain dan hanya tunggu masa sesuai untuk dirasmikan atau membuat pelancaran Akademi Merah Kuning. Setakat ini, kita ada sembilan pusat latihan dengan setiap daerah ada satu pusat latihan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan liga di peringkat daerah masing-masing bagi mengenal pasti kemampuan dan prestasi pemain yang mengikuti latihan di akademi terbabit.

Amirudin berkata, akademi yang turut disertai beberapa bekas pemain kebangsaan sebagai jurulatih itu turut mempunyai pelan jangka panjang membabitkan peringkat akar umbi hingga ke peringkat persediaan untuk mengisi kekosongan di peringkat senior, di masa hadapan.

“Kepada mereka yang berbakat dan berminat menyertai akademi, boleh hubungi pejabat Majlis Sukan Negeri Selangor atau pejabat di daerah masing-masing atau mereka boleh dapatkan maklumat di facebook Akademi Bola Sepak Merah Kuning,” katanya.


Pengarang :