Selangorkini
SELANGOR

Perpustakaan di Selangor diperkasa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM40 juta diperuntukkan bagi membina kemudahan tempat letak kereta bertingkat di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13, yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sejumlah RM8.65 juta pula diperuntuk untuk menaik taraf tiga perpustakaan daerah dan satu perpustakaan desa (RM8 juta), membina perpustakaan desa baru (RM 450,000) dan melengkapkan koleksi (RM200,000).

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Agenda Pencerahan Selangor dengan peruntukan RM3.5 juta untuk menjayakan usaha audiobook dan terjemahan karya antarabangsa.

“Perpustakaan adalah gerbang ilmu dan hikmah untuk membentuk masyarakat berilmu dan berbudaya.

“Perpustakaan juga menyediakan akses kepada masyarakat untuk mendapat ilmu pengetahuan dan menyuburkan masyarakat yang maju ke arah inovasi kreatif,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menambah bilangan perpustakaan daripada 88 kepada 102 perpustakaan yang berjaya menarik 11.2 juta pengunjung.

“Pengunjung juga semakin ghairah memburu ilmu sehingga mencecah 8,000 orang pada hujung minggu dan cuti sekolah di Perpustakaan Raja Tun Uda,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :