Selangorkini
NASIONAL

Persekutuan perlu bayar RM102 juta kepada PLUS

ccsb-ads

 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 NOV: Sejumlah RM102 juta pampasan bakal dibayar Kerajaan Persekutuan kepada PLUS Malaysia Bhd (PLUS) susulan pemansuhan bayaran tol di Plaza Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pampasan itu diberikan susulan penstrukturan tol berkenaan yang dijadual tamat pada 2038.

Katanya, sejumlah RM8 juta pampasan juga perlu dibayar Kerajaan Persekutuan bagi pembatalan tol Bukit Kayu Hitam, Kedah selain penyelesaian pertindihan bayaran Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor.

“Untuk EDL, Kerajaan Persekutuan sudah kenakan ‘road charges’ (caj jalan).

“Ini kerana, tol itu sudah ‘redundant’, jadi kita akan ‘offset’ dengan ‘road charges’,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau dilapor berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemansuhan bayaran tol di Lebuhraya Persekutuan itu semasa pembentangan Bajet 2018.

Kadar tol dikenakan di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau masing-masing bernilai RM1.10 dan RM1.


Pengarang :