EKONOMI

Petronas Dagangan jana untung RM438.3 juta

KUALA LUMPUR 11 NOV: Keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017 melonjak kepada RM438.3 juta berbanding hanya RM325.59 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan meningkat kepada RM6.69 bilion daripada RM5.48 bilion, selepas dipacu oleh kenaikan sebanyak tiga peratus dalam kuantiti jualan dan pertambahan 18 peratus pada harga purata jualan, seiring dengan harga purata yang lebih tinggi Mean of Platts Singapore.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus, berkata keputusan itu diraih selepas syarikat mempergiatkan kempen jualan, pemasaran konvensional dan digital.

“Usaha ini terbukti menghasilkan keputusan positif khususnya dari segi jumlah jualan dan keuntungan kasar,” katanya dalam satu kenyataan.

Perniagaan runcit merekodkan kenaikan keuntungan kasar sebanyak 35 peratus berikutan aliran menaik dalam harga produk, manakala perniagaan komersial mencatatkan lonjakan keuntungan kasar sebanyak 17 peratus, disumbangkan oleh peningkatan jumlah dalam bahan api pesawat dan diesel.

“Perniagaan gas petroleum cecair mencatatkan 46 peratus pertambahan dalam keuntungan kasar selaras dengan peningkatan sebanyak lima peratus dalam volum selepas pelaksanaan program insentif baharu oleh syarikat bagi memacu jualan yang lebih tinggi di tengah-tengah persaingan yang sengit,” katanya.

Keuntungan kasar dalam perniagaan minyak pelincir menurun sebanyak lima peratus akibat jumlah hasil yang rendah termasuk kos produk yang lebih tinggi.

Petronas Dagangan berkata, dalam suku di bawah kajian, syarikat juga melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam Petronas Energy Philippines Inc. dan sebanyak 40 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat bersekutu, Duta Inc kepada P-H-O-E-N-I-X Petroleum Philippines Inc, menghasilkan keuntungan berjumlah RM424.6 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan menokok kepada RM1.06 bilion daripada RM858.97 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelum ini, dan perolehan naik kepada RM19.74 bilion daripada RM15.59 bilion.

Mengenai prospek syarikat pula katanya, Petronas Dagangan akan mengukuhkan lagi rangkaian dan terus mengembangkan segmen e-dagangnya, dengan memanfaatkan e-peruncit seperti Shopee, Lazada Malaysia dan 11street bagi mempelbagaikan saluran pemasaran termasuk meningkatkan lagi, pengalaman pelanggannya.

“Dalam suku tahun berikutnya, Petronas Dagangan akan berusaha untuk memacu pertumbuhan jumlah, sambil memastikan pengurusan inventori yang lebih cekap, bekalan, pengedaran serta operasi pengoptimum perbelanjaan,” katanya.

Beliau menambah perniagaan komersil dan perniagaan LPG akan ditumpukan bagi mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran, disamping meningkatkan lagi, margin produk dalam pasaran pelincir.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :