SUKANKINI

Piala Malaysia: Bekas pemain ramal sengit, Kedah jadi pilihan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 NOV: Bekas pemain Selangor yang pernah bermain untuk pasukan kebangsaan meramalkan pertembungan pasukan Kedah dan Kelab Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan akhir TM Piala Malaysia Sabtu ini pasti sengit dengan peluang sama rata untuk kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun bagi penyerang sensasi Selangor, Azman Adnan dan penyerang era 1990-an, Karim Pin memilih Kedah sebagai pasukan pilihan menjuarai Piala Malaysia.

“Sudah pasti satu perlawanan yang menarik dan berkualiti. Secara jujur pasukan pilihan saya lebih nampak kepada pasukan Kedah tetapi bukan mudah kerana JDT mempunyai pemain berkualiti.

“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku, walaupun saya jangka Kedah boleh menang tetapi tak mustahil JDT yang menang.

“Saya akui JDT sebuah pasukan kuat. Bukan sahaja pemainnya, fasiliti mereka juga memang terbaik di Malaysia dan Kedah pula bergantung kepada tiga import mereka di mana kalau tiga import mereka gagal bermain baik dalam perlawanan akhir nanti kemungkinan besar JDT mencipta kemenangan,” kata Azman kepada SelangorKini.

Beliau yang enggan meramalkan jumlah jaringan turut melahirkan keyakinan setiap pemain yang beraksi pada final nanti akan berjuang bermati-matian sehingga 200 peratus kerana bermain di perlawanan akhir merupakan peluang yang ditunggu-tunggu setiap pemain.

Karim Pin pula meramalkan keputusan perlawanan akhir kempen Piala Malaysia edisi ke-91 itu nanti bakal berkesudahan 2-1 dengan memihak kepada pasukan Kedah.

“Kedua-dua pasukan ada peluang kerana mereka adalah pasukan terbaik yang ada di Malaysia pada masa ini. Bagaimanapun JDT ada kelebihan kerana mereka menjuarai Liga Super empat tahun berturut-turut.

“Bagaimanapun saya rasa Kedah pun ada kelebihan juga. Peluang masing-masing 50/50 dan untuk perlawanan ini saya memilih Kedah menang 2-1,” katanya.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain 1990-an Selangor yang merupakan antara ‘supersub’ terbaik yang pernah dimiliki pasukan kebangsaan, Anuar Abu Bakar, memilih JDT sebagai juara dengan jaringan 2-0.

“Saya rasa perlawanan akhir Kedah dan JDT nanti memang sengit. JDT lebih bergaya dan beremosi inginkan piala ini kerana tahun lepas mereka tak sasarkan piala ini tetapi tahun ini mereka inginkan kejuaraan ini.

“Kedah sebagai juara bertahan sudah tentu mahu mempertahankan kejuaraan. Saingan pasti hebat dan rancak dengan penonton seramai 80,000 dari Kedah dan Johor, saya fikir Stadium Shah Alam akan penuh dan meriah.

“Pilihan saya adalah JDT 2-0 berikutan prestasi JDT sekarang berada di tahap yang baik dan saya rasa JDT akan memenangi Piala Malaysia tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari turut sama menjangkakan satu perlawanan yang sengit pada perlawanan Sabtu ini.

“Kedua-dua mempunyai kelebihan masing-masing namun di segi prestasi semasa khususnya dalam pertandingan piala saya rasa Kedah mempunyai kelebihan.

“Bagaimanapun perlawanan akhir sentiasa mencabar dan sentiasa menjadi 50/50 kepada kedua-dua pasukan tetapi sebelum sepak mula saya boleh lihat prestasi semasa di mana Kedah boleh muncul juara tetapi Johor bukanlah asing, mereka mempunyai pemain bintang.

“Sudah pasti mereka mencabar akan cuba mendapatkan Piala yang belum pernah mereka menangi lagi setakat ini. Apa pun saya rasa Kedah boleh menang 2-0,” katanya.


Pengarang :