Selangorkini
SUKANKINI

Piala Malaysia: Polis kerah 1,500 anggota jamin keselamatan

 

SHAH ALAM, 3 NOV: Sekurang-kurangnya 1,500 anggota dan pegawai polis ditempatkan di Stadium Shah Alam sempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zaim (JDT) dan Kedah, pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ia bagi memastikan acara berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Katanya, jumlah tersebut merangkumi keanggotaan daripada pelbagai jabatan termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Pengesan (K9) dan Unit Berkuda pasukan keselamatan itu.

“Saya yakin penyokong kedua-dua pasukan profesional serta matang dan diharap tiada pihak cuba menimbulkan sebarang provokasi dalam perlawanan ini.

“Disebabkan sebelum ini ada kumpulan kecil penonton cuba gugat ketenteraman awam selepas perlawanan, maka kali ini, polis meningkatkan kawalan melibatkan sebelum, semasa dan selepas perlawanan bagi memastikan stadium dan kawasan sekitarnya bebas gangguan,” katanya selepas mesyuarat keselamatan akhir Piala Malaysia, semalam.

Shafien berkata, pintu stadium akan dibuka seawal 4 petang dan penyokong kedua-dua pasukan digalakkan supaya datang lebih awal sebelum perlawanan bermula pada 9 malam bagi memudahkan mereka mengambil tempat duduk.

Katanya, penyokong pasukan JDT akan masuk ke stadium melalui pintu A dan D manakala penyokong pasukan Kedah pula melalui pintu B dan C yang kesemua mereka perlu melalui pemeriksaan badan dengan bantuan unit pengesan sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau turut memberi amaran keras kepada semua pihak supaya mematuhi arahan keselamatan dan tidak membawa barang larangan seperti senjata tajam, botol minuman dan bahan letupan termasuk bendera parti politik semasa perlawanan itu berlangsung bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

Tambah Shafien, tiada penutupan jalan dilakukan pada Sabtu ini, namun aliran trafik di beberapa laluan sekitar stadium akan dilencongkan selain tempat letak kenderaan penyokong kedua-dua pasukan juga diasingkan bagi memudahkan perjalanan keluar masuk sebelum dan selepas perlawanan.

“Kami menjangkakan kira-kira 75,000 penyokong akan membanjiri stadium pada perlawanan akhir itu dan sekali lagi saya ingatkan supaya semua pihak patuhi peraturan untuk menikmati perlawanan dengan aman,” katanya.

-Bernama-


Pengarang :