Selangorkini
SELANGOR

Projek pengangkutan awam wujud sistem komprehensif

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri melaksanakan projek pengangkutan awam bagi mewujudkan sistem yang komprehensif, di Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, pelaksanaan projek berkenaan akan memberi impak positif dan kemudahan kepada orang ramai selaku penggunaan, di negeri itu.

“Pelaksanaannya akan membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran nisbah 60:40 penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian seperti ditetapkan di dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor.

“Dengan pengurangan jumlah kenderaan di jalan raya, secara tidak langsung membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Berhubung projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) oleh Kerajaan Persekutuan, beliau berkata, ia masih dalam pertimbangan Kerajaan Negeri.

Katanya, keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Ke 21/2016 yang diadakan pada 23 Jun 2016 dan disahkan dalam mesyuarat Ke 22/2016 (13 Julai 2016) dengan Kerajaan Negeri mengambil maklum dan memutuskan bahawa jajaran koridor berkenaan belum dimuktamadkan.

“HSR hanya dibenarkan untuk mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi membolehkan kajian tapak dibuat.

“Pembentangan hasil kajian tapak oleh HSR belum lagi dibuat kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya bagi pertanyaan ADN Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan.

Kerajaan Negeri pada masa sama, katanya, akan memastikan pematuhan akta dan peraturan ditetapkan di peringkat negeri juga pihak berkuasa tempatan bagi keseluruhan projek pembangunan termasuk projek dinyatakan, di Selangor.


Pengarang :