Selangorkini
NASIONAL

Raja Kamarul Bahrin nafi sokong cadangan larangan wanita bertudung

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menafikan beliau menyokong cadangan larangan wanita memakai tudung dalam sektor pekerjaan hotel dalam ucapan penggulungan, semalam.

Katanya, beliau hanya mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menganjurkan pertandingan rekaan uniform yang menepati kehendak Islam dan boleh digunakan di hotel.

Tegasnya, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz selaku menteri bertanggungjawab perlu membaca keseluruhan ucapannya dan tidak beremosi serta tidak mempolitikkan isu itu.

“Saya agak hairan kenapa cadangan itu dikecam ketika sesi jawapan menteri. Saya tidak sesekali bersetuju dengan cadangan melarang wanita Islam memakai tudung.

“Cadangan saya adalah untuk membuat pemakaian tudung dan penutupan aurat uniform hotel lebih menarik sebagai daya tarikan aset pelancongan. Hasil terbaik boleh dicapai melalui satu pertandingan fesyen,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Katanya, cadangan beliau adalah langkah mencari titik penyelesaian dalam situasi menang-menang supaya tuntutan Islam dipenuhi dan hotel menerima konsep itu.

Raja Kamarul berkata, beliau sendiri sudah memulakan perniagaan Aryani Resort sejak 1996 dengan memperkenalkan uniform bertudung dan uniform labuh dari ‘front office’ hingga ‘house keeping’.


Pengarang :