Selangorkini
SELANGOR

RM20.4 juta laksana Projek Perumahan Generasi Kedua Felda

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Projek Perumahan Generasi Kedua Felda sedang dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor dengan kos RM20.4 juta.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ia meliputi pembangunan sejumlah 136 unit rumah berkembar satu tingkat.

Katanya, Kerajaan Negeri membiayai sepenuhnya kos pembangunan infrastruktur yang dianggarkan berjumlah RM7.65 juta.

“Rumah berkenaan juga akan dijual pada harga RM96,000 bagi seunit rumah.

“Jika Kerajaan Negeri tidak menanggung kos infrastruktur, harga jualan sebuah rumah mampu mencecah RM150,000,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan berhubung status kemajuan terkini Projek Perumahan Generasi Kedua.

Iskandar yang juga ADN Cempaka berkata, kelulusan Kebenaran Merancang (KM) Bersyarat sudah diperolehi dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), pada 5 Mei lalu.

Katanya, kelulusan KM Penuh dari MDHS pula diperolehi pada 12 September lalu.

“Pelan Bangunan dan Pelan Sementara disasarkan untuk mendapat kelulusan dari MDHS pada bulan November ini.

“Kerja pembinaan juga dijangka dimulakan di tapak oleh kontraktor dilantik pada akhir bulan November ini,” katanya.


Pengarang :