EKONOMI SELANGOR

RM9 juta diperuntukkan teruskan penganjuran SIBS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan Selangor International Business Summit (SIBS) yang berjaya dianjurkan Invest Selangor diteruskan pada 2018 dengan peruntukan RM9 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, konvensyen yang berlangsung September lalu itu berjaya menarik minat lebih 3,000 peserta dan 5,000 pengunjung pameran.

“SIBS 2017 merangkumi tiga acara utama iaitu Selangor Smart City & Future Commerce Convention, SelangorASEAN Business Conference dan Selangor International Expo 2017.

“Persidangan pula mencatat kejayaan untuk mengangkat Selangor sebagai ‘launching pad’ bagi memajukan keusahawanan ASEAN manakala Expo Antarabangsa berjaya menarik seramai 16,694 pengunjung dan menjana potensi nilai transaksi RM204.2 juta,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM25 juta dalam 2018 untuk aktiviti dan program dirancang Invest Selangor termasuk misi pelaburan.

Selain itu, Kerajaan Negeri bercadang membangunkan Cyber Valley sebagai ibu kota perdagangan Selangor bagi mengembangkan potensi perdagangan.

Katanya, pusat bertaraf antarabangsa dilengkapi dengan pusat pameran dan persidangan canggih akan mengangkat imej Selangor sebagai gerbang ke ASEAN melalui inisiatif awam dan swasta (public private initiative).

Secara keseluruhan, jumlah keseluruhan potensi pelaburan sedang dalam proses rundingan dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat mencecah nilai RM404.5 juta melibatkan industri aeroangkasa, automotif serta sektor elektrik dan elektronik.

=EZY=


Pengarang :