Selangorkini
EKONOMI

Saham Asia cecah paras tertinggi 10 tahun

TOKYO 1 NOV: Saham Asia mencecah paras tertinggi 10 tahun hari ini, disokong pertumbuhan ekonomi global mantap manakala harga minyak meneruskan peningkatan.

Indeks meluas MSCI yang menjejaki saham Asia Pasifik di luar Jepun menokok 0.6 peratus, diterajui kenaikan 1.1 peratus di Korea Selatan manakala Nikkei di Jepun menambah 1.4 peratus, lapor REUTERS.

“Harapan pemotongan cukai di Amerika Syarikat (AS), penurunan sederhana dalam pulangan bon jangka panjang AS sejak lewat bulan lalu dan kenaikan harga minyak kesemuanya positif bagi pasaran Asia,” kata Yukino Yamada, ahli strategi kanan di Daiwa Securities.

“Bulan lalu, terdapat aliran masuk utama ke dalam saham teknologi Korea dan Taiwan. Dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kedua-dua negara itu juga kukuh, menunjukkan pengukuhan tersebar ke keseluruhan ekonomi, bukan saja terhad kepada sektor teknologi tinggi,” katanya.

Pertumbuhan ekonomi Korea Selatan berkembang pada kadar terpantas dalam tujuh tahun pada suku lalu manakala pertumbuhan Taiwan dalam tempoh sama adalah paling kukuh dalam tempoh dua setengah tahun.

Bacaan KDNK AS bagi tempoh Julai-September juga menunjukkan pertumbuhan sihat 3.0 peratus, jauh di atas purata 2.0 peratus sejak krisis kewangan 2008-09.

Tiga indeks utama Wall Street pula berada di landasan kukuh untuk mengakhiri Oktober dengan mencatat kenaikan bulanan terbesar sejak Februari.

Pelabur memantau perkembangan cadangan pemotongan cukai oleh Presiden Donald Trump dan pengumuman pelantikan pengerusi baharu Rizab Persekutuan.

Rumah Putih akan mengumumkan pengerusi baharu Khamis.

Indeks dolar AS berbanding mata wang utama terpilih berada pada 94.66 daripada 95.15, paras puncak tiga bulan minggu lalu.

Brent mencecah paras tertinggi dua tahun AS$61.41 satu tong Selasa dan berada pada AS$61.16 satu tong pada dagangan Asia pagi ini, naik 0.4 peratus.

=EZY=


Pengarang :