BERITA UTAMA SELANGOR

#Selangor18: Belanjawan bermanfaat hasil pencapaian ekonomi mampan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri berjaya membentangkan belanjawan bermanfaat demi kemudahan rakyat di Selangor pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembentangan Belanjawan 2018 membuktikan kemampuan Kerajaan Negeri ekoran hasil pencapaian ekonomi mampan.

“Prinsip yang kita pegang adalah fastabiqul khairat iaitu dengan mengajak semua berlumba-lumba bagi membuat kebaikan di mana ia memang prinsip yang universal.

“Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Kerajaan Negeri sentiasa bekerja kuat serta berlumba untuk melakukan yang terbaik bagi rakyat Selangor,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan 2018 berjumlah RM3.12 bilion.

Daripada jumlah itu, RM1.66 bilion atau 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan manakala RM1.46 bilion (46.8 peratus) bagi pengurusan.

Hasil pengurusan ekonomi yang baik, katanya, Kerajaan Negeri mencapai kemajuan membanggakan serta berupaya mengembalikan hasil kekayaan negeri kepada rakyat.

“Ini satu kejayaan besar walau pada peringkat awal iaitu pada tiga tahun lalu kita menghadapi kesukaran tetapi selepas tempoh itu kita membuktikan dengna belanja pembangunan yang besar dapat menjana aktiviti ekonomi dalam Selangor.

“Sejak 2015, kita juga melaksanakan dasar penilaian perolehan secara ‘cut off’ di mana semua kerja perolehan dibuat secara terbuka dan sehingga hujung tahun ini kita berjaya membuat penjimatan sebanyak RM432 juta.

“Dengan penjimatan sebegini besar maka kita dapat mengemukakan satu belanjawan pembangunan yang besar pada 2018,” katanya.

=EZY=


Pengarang :