SELANGOR

#Selangor18: Kerajaan Negeri bantu generasi kedua Felda miliki rumah

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan membantu generasi kedua Felda memiliki rumah melalui pembinaan perumahan bagi golongan itu pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata melalui Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri akan menyediakan kemudahan itu bagi merealisasikannya.

“Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membangunkan 136 unit rumah berkembar setingkat dengan keluasan 850 kaki persgi di atas tapak seluas 17 ekar berhampiran Felda Sungai Tengi untuk perumahan generasi kedua Felda.

“Kerja tanah telah dimulakan dan kerja pembinaan akan bermula pada akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan itu adalah keprihatinan Kerajaan Negeri dengan masa depan peneroka Felda yang berulang kali dieksploitasi sang penguasa.

Katanya, ketidaktentuan masa depan peneroka Felda memberi kesan kepada masa depan anak dan cucu mereka.

“Maka Kerajaan Negeri tampil untuk membantu generasi kedua Felda untuk memiliki rumah yang selesa dan ‘affordable’ berhampiran dengan keluarga mereka,” katanya.


Pengarang :