Selangorkini
SELANGOR

Setengah juta bantu nelayan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 NOV: Sejumlah RM500,000 diluluskan Kerajaan Negeri bagi pemberian bantuan peralatan berbentuk jaring menangkap ikan kepada 333 nelayan, pada 2017.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, syarat utama ditetapkan adalah setiap nelayan yang memohon mestilah berdaftar dengan Jabatan Perikanan Selangor.

Katanya, hanya nelayan berdaftar sahaja diperakui sebagai nelayan yang menjadikan tangkapan ikan sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

“Melalui kaedah ini, setiap nelayan yang menerima bantuan peralatan akan dipantau secara berkala, sekurang-kurangnya sekali setahun ketika permohonan memperbaharui lesen nelayan.

“Pemantauan turut dilakukan Jabatan Perikanan Selangor di jeti nelayan pada kadar dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berhubung program bantuan terhadap golongan nelayan.

Zaidy yang juga ADN Taman Templer berkata, selain jaring, bantuan lain termasuk pemberian peralatan ‘global positioning system’ (GPS) dan jaket keselamatan.

“Bantuan sampan dan enjin tidak lagi diberikan sejak 2016 memandangkan kos per unit tinggi,” katanya.


Pengarang :