“Sindiket bawahan didakwa, atasan dilindungi” | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Nurul Farina Nazlan

“Sindiket bawahan didakwa, atasan dilindungi”

OLEH RAJA BAHRIN SHAH

1) Setelah berita pendakwaan beberapa orang ahli sindiket nelayan ikan yang beroperasi secara haram dan ahli-ahli penguatkuasa Maritim tersiar, ramai bertanya adakah ini watak-watak utama yang telah dikenakan tindakan.

Memandangkan jumlah nilai kos kerugian kecurian tangkapan laut yang didapati dari sumber rasmi kerajaan setinggi diantara RM4 hingga RM6 bilion, tidak mungkin mereka yang terdiri orang biasa dan pegawai rendah merupakan perancang utama sindiket tersebut. Mesti ada pihak atasan yang lebih tinggi dan berpengaruh terlibat yang masih belum di “sentuh” atau di dakwa. Adakah pihak yang didakwa ini dahulu di lindungi oleh vvip atau “Godfather” yang mempunyai kekebalan tertentu? Mereka telah bermaharajalela begitu lama dan bebas di luar “kesanggupan” dan kemampuan pihak berkuasa bertindak seolah olah mereka adalah “Pirates of the Carribean’ di Asia yang ganas lagi berpengaruh besar. Ada juga wanita asing muda Vietnam yang mempunyai pengaruh di kalangan pihak berkuasa atasan hingga bolih memiliki status gelaran Datuk.


2) Laporan Bernama pada 9 November 2017 melaporkan seorang lelaki pemilik kapal menangkap ikan warga Vietnam dan seorang wanita Vietnam bersama suaminya telah di dakwa Mahkamah di Terengganu kerana cuba memberi RM 100,000 wang rasuah kepada seorang pegawai SPRM untuk melepaskan dua bot Vietnam yang telah dirampas oleh pihak berkuasa. Lelaki Vietnam bernama Tran Van Sang mengaku perbuatan rasuah tersebut dan hukuman maxima jika didapati bersalah ialah 20 tahun penjara dan juga boleh dikenakan denda.

Adakah dengan mengaku bersalah Encik Tran berharap siasatan lanjut tidak akan diteruskan? Adakah beliau ingin melindungi pihak yang lebih tinggi dan berkuasa? Adakah Tran juga mahu memikul tanggungjawab penuh supaya rakan rakyat Malaysia akan dilepaskan tanpa siasatan diteruskan yang boleh membongkar rahsia orang atasan vvip Malaysia yang berpengaruh?

3) Soalan soalan tersebut diatas adalah diantara tandatanya saya dan beberapa lagi rakan profesional yang berbincang beberapa tangkapan berkaitan isu nelayan oleh pihak berkuasa baru baru ini.

Seperti saya biasa lakukan apabila pulang dari sesi Parlimen pada hari Jumaat lepas, saya telah ke Jeti Utama Nelayan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu untuk mendapat reaksi nelayan isu penangkapan tersebut. Saya dapati hampir kesemua yang ditanya memberi komen sinis tentang operasi tersebut dengan menyatakan nelayan warga Vietnam dan bot mereka akan dilepaskan tidak berapa lama lagi serta bot mereka yang dirampas akan kembali beroperasi semula secara haram. Mereka juga menambah kakitangan dan pegawai yang ditangkap adalah golongan bawahan sahaja dan mereka percaya pihak yang lebih berkuasa yang terlibat masih bebas. Nelayan juga kecewa dengan sikap tidak tegas kerajaan yang melepaskan kembali bot yang di rampas dengan mudah sementara pihak berkuasa Indonesia lebih tegas dengan memusnahkan nya.

4 ) Pada keseluruhannya nelayan dan rakyat percaya selepas musim pilihan raya operasi seperti ini tidak akan dijalankan lagi. Mereka terlalu arif dengan adegan bermusim dengan agenda tersendiri kerajaan. Mereka telah melihat sandiwara sebegini dahulu. Nelayan akan masih kekal di kalangan termiskin dengan pendapatan di bawah RM450 sebulan.

Aktiviti nelayan haram Vietnam dan Thailand telah dibiarkan berleluasa terlalu lama dan mereka yang di cantas sekarang hanyalah ranting ranting kecil. Sindiket-sindiket ini telah berakar umbi di bumi dan di dasar lautan negara kita. Selagi perancang perancang utama dan “godfather” tidak dibawa ke muka pengadilan, ranting ranting yang dicantas akan tumbuh kembali seperti cendawan selepas hujan.

# Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next