Smart Desa Selangor berdaya masyarakat luar bandar | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Lizawati Madfa

Smart Desa Selangor berdaya masyarakat luar bandar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 NOV: Smart Desa Selangor diyakini mampu memberdaya masyarakat luar bandar terus berada dalam arus perdana pembangunan serta menikmati kemudahan dan mutu kehidupan setara kehidupan moden masyarakat bandar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PLANMalaysia@Selangor berjaya menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Selangor 2035, iaitu dokumen perancangan spatial berhubung perancangan dan cadangan pembangunan desa.


Katanya, ia merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial dan persekitaran yang menjadi asas perancangan dan kluster pembangunan strategik demi mempertingkatkan potensi kemajuan desa.

“Kita perlu memastikan ‘connectivity’ antara bandar dan desa.

“Kita juga mahu watak dan jati diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong-royong, muhibbah dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi terus dikekalkan dan dipertahankan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, terdapat dua hasil utama kajian iaitu Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 dan Sistem Maklumat Smart Desa Negeri Selangor.

“Ia meliputi 519 kampung melibatkan kampung tradisi, kampung tersusun, kampung baru, kampung bagan dan kampung orang asli,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan kerangka Smart Desa merupakan penterjemahan Dasar Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Katanya, ia adalah penegasan terhadap usaha menjana sumber pendapatan secara strategik, melaksanakan pembangunan berkualiti serta menyantuni rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat.

“Smart Desa Selangor diberi takrifan sebagai pembangunan desa secara bijak dengan mengambil berat terhadap pengurusan sumberjaya terkawal dan pembangunan ekonomi dan spatial terancang untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat desa.

“Penterjemahan ini mensasarkan pengiktirafan sebagai Global Village melalui pelaksanaan pusat Smart Desa dengan model kampung yang dilihat berpotensi bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

=EZY=

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next