NASIONAL

Suhakam siasat kes pemandu Uber didakwa jadi mangsa dera polis

 

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pemandu Uber, R Pragabar, 27, menjadi mangsa dera sekumpulan polis bantuan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), di KL Sentral, di sini, 21 Oktober lalu.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Loh Yim Pheng, berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti segala maklumat diberikan bagi tujuan itu.

“Kita akan menjalankan siasatan terhadap kes ini.

“Keputusan akan dibuat dalam sedikit masa selepas kita meneliti segala maklumat dan keterangan diberikan mangsa,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau mewakili Suhakam menerima memorandum daripada Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy dan Pragabar.

Sevan berkata, Suaram berharap Suhakam akan menjalankan siasatan secara terbuka dan bebas terhadap kes berkenaan.

Beliau mendakwa, MRCB diketuai mereka yang mempunyai hubungan dan pengaruh besar bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Polis bantuan MRCB berkelakuan tidak profesional dalam perkara ini dan Suhakam diharap menjalankan siasatan dengan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Mangsa, Pragabar mendakwa mengalami kecederaan selepas didera empat hingga lima polis bantuan MRCB ketika mahu mengambil penumpang di KL Sentral.

“Saya diarahkan mengalihkan kenderaan di kawasan parkir oleh mereka tetapi saya meminta izin untuk menunggu dan menelefon pelanggan untuk sementara waktu.

“Namun permintaan saya tidak dilayan dan berlaku perkara tidak diingini apabila saya diarahkan keluar dari kereta,” katanya.

Selain dihamburkan kata-kata kesat, dakwanya, dia juga dipukul dan ditendang oleh anggota polis itu.

Pragabar membuat laporan polis sehari selepas itu dan juga ditahan reman tiga hari di Lokap Berpusat Jinjang bagi membantu siasatan.


Pengarang :