SELANGOR

Teguh pertahan Permatang Kuarza Gombak

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan permohonan pembangunan, namun tegas mempertahankan Permatang Kuarza Gombak sebagai warisan, di Selangor.

Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata,
pendirian Kerajaan Negeri jelas berhubung perkara itu dan tidak akan meluluskannya jika ia bertentangan.

“Kerajaan Negeri bertegas tidak akan membenarkan projek pembangunan memlalui Permatang Kuarza Gombak kerana ia warisan atau aset juga mula didaftarkan sebagai warisan negara.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sedia membincangkan sebarang permohonan tetapi beberapa prinsip berkaitan hutan lipur dan hutan simpan akan dikekalkan termasuk Permatang Kuarza Gombak,” katanya mewakili Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkenaan projek Landasan Kereta Api Laju ke Pantai Timur (ECRL).

Merujuk pertanyaan lisan ADN Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan dan ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin, katanya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai maklumat lanjut berkenaan ECRL serta tiada keputusan diambil terhadapnya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sekadar mempunyai maklumat ringkas projek ECRL fasa pertama menghubungkan jajaran Kota Bharu ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak tetapi tidak bagi fasa kedua menghubungkan ITT Gombak ke Pelabuhan Klang.

“Oleh demikian, tiada sebarang keputusan di peringkat Kerajaan Negeri berkaitan pembangunan ECRL,

“Kerajaan Negeri juga belum menerima permohonan berhubung tanah dikaitkan dalam projek ini mahupun jumlah pampasan diberikan kepada penduduk,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut dimaklumkan berhubung penyertaannya dalam ECRL melalui keputusan daripada Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Pemandu Projek ECRL Bil 1/2017, di Kementerian Kewangan, pada 25 Januari lalu.

Katanya, anak syarikat Kementerian Kewangan, Malaysia Rail Link (MRL) selaku pemaju projek ECRL, membuat permohonan mengadakan kunjung hormat pada 20 Julai lalu bagi membincangkan pelaksanaannya membabitkan sebahagian kawasan dalam Selangor.


Pengarang :