Selangorkini
SELANGOR

Turap jalan pangsapuri guna peruntukan PBT, bukan MARRIS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri menafikan kerja turapan jalan di kawasan pangsapuri menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebaliknya dibiayai menerusi peruntukkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri menggunakan kaedah ‘offset’ dengan melakukan pertukaran kerja ‘swap of job’ dengan PBT menerusi projek yang lain di luar kawasan pangsapuri.

“Kerajaan Negeri akan ganti peruntukkan PBT menerusi ‘Swap of Job’ di dalam kawasan yang lain milik PBT.

“Kita tidak menggunakan wang MARRIS untuk turap jalan di pangsapuri seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2017, semalam.

Peruntukan MARRIS disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilakukan kepada semua Kerajaan Negeri.

Katanya, usaha Kerajaan Negeri menaik taraf kemudahan jalan di pangsapuri sepatutnya disokong bukan dengan melemparkan dakwaan tidak berasas.

“Kenapa marah sangat orang nak tolong turap jalan pangsapuri? Kenapa nak bermusuh sangat orang yang tinggal di kawasan kos rendah?” soalnya.


Pengarang :