Selangorkini
NASIONAL

Umno hulur ‘talian hayat’ kepada Utusan?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Umno didakwa menghulurkan ‘talian hayat’ kepada Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd dengan memberikan projek membekalkan tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, daripada 2013 sehingga suku kedua tahun 2017 Utusan mengalami kerugian hampir RM220 juta selain mengalami kemerosotan pengedaran berdasarkan laporan Biro Audit Pengedaran Mei 2017.

“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian hampir RM220 juta boleh dilantik menjadi pembekal komputer tablet bagi projek bernilai RM340 juta? Tambahan projek ini diberikan tanpa tender terbuka.

“Ini membuktikan sehingga menjelang PRU-14, Barisan Nasional (BN) tidak pernah dan tidak berhasrat untuk berubah. Pentadbiran mereka tetap berpaksikan 3K iaitu Korupsi, Kronisme dan Kleptokrasi,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Pada 23 November lalu, Steven mengemukakan soalan mengenai pemberian tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dalam jawapannya berkata, setakat ini 182,712 tablet diagihkan dengan perbelanjaan RM152 juta dengan syarikat pembekal tersebut adalah Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd.


Pengarang :