BERITA UTAMA SELANGOR

Umno Selangor sudah masuk muzium, nasib Melayu kekal terbela

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV : Nasib masyarakat Melayu di Selangor kekal terbela walaupun pentadbiran negeri itu ditadbir Kerajaan Pakatan sejak 2008.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, kebajikan masyarakat lain seperti kaum Cina, India dan kaum lain turut terbela di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri kini.

“Umno dakwa Pakatan tidak mampu urus negara. Mereka kata kami hanya pandai berpolitik tidak, malah kata mereka kalau kami urus negara, orang Melayu akan makan ubi seperti zaman dulu.

“Tapi kami sudah buktikan Selangor maju tanpa Umno. Umno di Selangor sudah masuk muzium dan nasib orang Melayu di Selangor terbela sejak lapan tahun kami memerintah. Orang Melayu Selangor tidak ketinggalan lagi seperti 50 tahun dulu.

“Pada masa sama, sebagai sebuah kerajaan yang berkebajikan, nasib kaum lain juga tidak pernah dilupakan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kampung Batu Kapur, Mentakab di sini,semalam.

Mohamed Azmin berkata, simpanan rezab Selangor kini yang mencatat simpanan rezab kira-kira RM3.5 bilion dimanfaatkan sebaiknya untuk masyarakat semua kaum di Selangor.

Katanya, kepedulian Kerajaan Negeri dilaksanakan menerusi agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan membabitkan kepentingan seluruh masyarakat negeri.

Oleh itu katanya, perubahan sama mampu dilaksanakan di negeri-negeri lain yang ditadbir Kerajaan Barisan Nasional jika Pakatan diberi kepercayaan untuk menerajui kepimpinan pada masa akan datang.

“Saya percaya kalau kepimpinan negeri ditadbir pemimpin berintegriti dan berani bawa perubahan, banyak perkara baru kita dapat laksanakan untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya.

=EZY=


Pengarang :