Selangorkini
SELANGOR

3 penjenayah ditembak mati

GOMBAK 30 DIS: Polis menembak mati tiga penjenayah dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam Bahru, Batu Caves, di sini, petang semalam.

BH ONLINE melaporkan ketiga-tiga suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift berwarna putih pada mulanya dikesan berlegar di sebuah pusat komersial di Bandar Baru Selayang, dekat sini, kira-kira jam 6 petang.

Susulan maklumat risikan itu, hebahan dibuat oleh polis daerah Gombak kepada semua pasukan dan unit peronda yang berada di lapangan untuk menahan semua suspek.

Menyedari kehadiran polis, suspek berusaha melarikan diri dengan memecut kenderaan mereka.

Selepas lebih 30 minit mengejar, polis yang menaiki dua kenderaan, berjaya mengepung masa di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Baru Selayang dan meminta mereka menyerah diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Fadzil Ahmat, berkata menyedari diri mereka terkepung, seorang suspek bertindak nekad melepaskan tembakan ke arah polis.

“Anggota kita tiada pilihan selain membalas tembakan ke arah mereka untuk mempertahankan diri menyebabkan ketiga-tiga suspek mati ditembak kejadian.

“Pemeriksaan menemukan sepucuk pistol jenis Beretta .22 dan dua bilah parang dalam kenderaan suspek,” katanya.

Katanya, buat masa ini, polis belum dapat memastikan identiti semua suspek kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui, namun mereka dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an.

SUMBER: BH ONLINE

 


Pengarang :