Selangorkini
EKONOMI

Bank Negara: Aset rizab berjumlah AS$101.8 juta

KUALA LUMPUR 30 DIS: Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan aset rizab rasmi negara sehingga akhir November lalu berjumlah AS$101.8 juta, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BNM, aset mata wang asing lain dalam tempoh yang sama pula berjumlah AS$1.828 juta.

Menurutnya, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan, diunjurkan sebanyak AS$254.1 juta.

“Sementara itu, jumlah kedudukan hadapan pendek sebanyak AS$11,092.0 juta pada akhir bulan November 2017 dan ia mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam sistem kewangan.

“Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah, dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak AS$2.486 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

“Satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$179.0 juta,” katanya di sini.

Tambahnya lagi, rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.

Mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat mengenai saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang dianggarkan terlebih dulu dan di luar jangkaan, bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.

 


Pengarang :