Selangorkini
NASIONAL

Cabaran martabatkan bahasa Melayu perlu penglibatan semua

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 DIS: Semua pihak perlu berusaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa yang boleh digunakan dalam pelbagai peringkat.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar berkata, setiap individu terutamanya mereka yang bekerja dan terlibat dengan penggunaan bahasa harus merencanakan sesuatu bagi mengekalkan bahasa Melayu di serantau dunia.

“Selari dengan kewujudan pelbagai karya dari luar negara, diharapkan karya bahasa Melayu juga dapat diperluaskan ke seluruh dunia supaya lebih ramai orang tahu tentang bahasa ini.

“Sebenarnya, sudah ramai orang mengguna pakai bahasa Melayu ini termasuklah orang Inggeris yang menterjemahkan bahasa Melayu dalam karya mereka.

“Di samping itu, terdapat juga pihak yang mengkaji dan membuat transformasi bahasa Melayu dalam bahasa asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum ‘Gelombang yang Memukul, Sawah yang Tenteram – Cabaran negara bangsa terhadap bahasa Melayu nusantara’ di Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara 2017 di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

Festival anjuran Pusat kebudayaan terkemuka serantau, PUSAKA yang bermula dari 8 hingga 10 Disember itu menampilkan tetamu kehormat seperti Goenawan Mohamad, Muhammad Haji Salleh dan Ramli Sarip.

Sementara itu, Profesor Sosiologi Universiti Nasional Singapura, Syed Farid Alatas berkata, seseorang itu perlu mengkaji dan belajar tentang sesuatu perkara jika tidak arif mengenainya.

“Begitu juga istilah, singkatan dan ayat dalam bahasa Melayu mesti mempunyai ilmu pengetahuan sebelum digunakan lebih meluas.

“Maka, jika tiada kepakaran mengenainya kita harus kaji, belajar dan selidik terlebih dahulu kepada yang benar-benar pakar,” katanya.

=EZY=


Pengarang :