Selangorkini
SELANGOR

Denggi : Lima pangsapuri dikenalpasti kawasan panas

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 11 DIS : Lima pangsapuri di Taman Serdang Perdana direkod mempunyai statistik denggi tertinggi apabila kes dilaporkan meningkat sejak tiga bulan lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, antara lima pangsapuri itu adalah Pangsapuri South City Condo, Rumah Kedai SP 5, Skyvilla Apartment, Pangsapuri Kesidang dan One South Apartment.

“MPSJ mengadakan Program Ops Anti Denggi bagi mengenal pasti lokasi tempat pembiakan nyamuk di kawasan terbabit.

“Melalui operasi dijalankan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, lima tempat pembiakan nyamuk ditemui di 322 unit rumah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat mengekang wabak itu masih kurang malah jentik-jentik ditemui di rak simpanan pinggan dan takungan air di tempat parkir kereta.

“MPSJ dan PKD sudah keluarkan arahan kepada pemilik rumah terbabit, jentik-jentik akan dibawa ke makmal untuk kenal pasti jenis nyamuk. Sekiranya aedes, kompaun akan dikeluarkan kepada pemilik,” katanya.

Azfarizal berkata, ops terpaksa dilancarkan bagi membanteras tempat pembiakan aedes di kawasan perumahan bertingkat.

Sementara itu, beliau berkata, 4,879 kes demam denggi dilaporkan hingga minggu ke-48 lalu di seluruh kawasan MPSJ.

“Menerusi inisiatif dilaksanakan, kita harap wabak aedes dapat dihapuskan secara berperingkat di seluruh kawasan terlibat sekali gus beri kesedaran kepada penduduk untuk bersama banteras denggi.

“Kami mohon penduduk dan pemilik premis beri kerjasama kepada pegawai dan kakitangan menjalankan tugas dalam usaha membendung dan memberi kesedaran berkenaan wabak denggi di kawasan pentadbiran MPSJ,” katanya.


Pengarang :