PBT SELANGOR

Derma barang keperluan sekolah di Eco Free Market

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 4 DIS: Orang ramai digalakkan menderma barang keperluan sekolah terpakai dan masih boleh digunakan untuk disumbang kepada pihak lebih memerlukan dalam Program ECO Free Market, pada 10 Disember ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program bertemakan Kembali ke Sekolah itu bertujuan menggalakkan komuniti Shah Alam membuat akitiviti kebajikan bagi meringankan beban golongan memerlukan.

Katanya, ia dilaksanakan bersempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di Seksyen 14, di sini mulai jam 10 pagi hingga 12 tengahari.

“Sebanyak 50 penyumbang dijangka akan membawa barang keperluan seperti baju sekolah, T-Shirt sukan, beg sekolah, kasut sekolah, buku latihan, alat tulis, bekas makanan dan minuman juga set geometri.

“Selain peralatan persekolahan, orang ramai juga boleh menyumbangkan barang baharu atau terpakai seperti pakaian, aksesori, dekorasi hiasan rumah, permainan kanak-kanak, alat elektronik, alat tulis dan bahan bacaan,” katanya.

Pada masa sama, Shahrin berkata, program itu mampu mengelakkan pembaziran serta mengurangkan pembuangan barangan terpakai ke tapak pelupusan.

Katanya, konsep Free Market ‘Less is More’ yang digunakan bermaksud menguruskan pemberian barangan terpakai dan meminimakan perbelanjaan kepada yang memerlukan.

“Penyumbang akan membawa barang sumbangan itu ke tapak program disediakan MBSA dan mereka boleh menderma barangan atau perkhidmatan secara percuma kepada pengunjung.

“Jika pengunjung berminat, mereka perlu meminta izin untuk mengambil barang terbabit mengikut keperluan dan perlu membawa beg sendiri kerana beg plastik tidak disediakan,” katanya.

Program itu adalah inisiatif MBSA dengan kerjasama sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kolej Vokasional Sungai Buloh.

Sebarang maklumat dan pertanyaan, boleh menghubungi Jabatan Pembangunan Komuniti di talian 03-55222730.


Pengarang :