BERITA UTAMA SELANGOR

Kepimpinan Azmin pada pandangan bekas Pegawai Kewangan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 DIS: Sikap sentiasa menghormati, mendengar pendapat penjawat awam dan mempertahankan prinsip ketelusan diamalkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyebabkan Dato’ Noordin Sulaiman berat hati untuk meninggalkan perkhidmatannya sebagai Pegawai Kewangan Negeri.

Noordin bagaimanapun berkata, sudah tiba masanya untuk beliau bersara seperti ditetapkan dalam syarat perkhidmatan beliau sebagai seorang penjawat awam.

“Kelebihannya Dato’ Seri Menteri Besar kalau nak sebut satu persatu memang sangat banyak tetapi bagi saya beliau adalah seorang yang sedia mendengar pendapat penjawat awam sama ada dari saya atau pegawai lain dan dia menghormati prinsip ketelusan dan dia mempunyai keluhuran budi yang sangat tinggi.

“Dia sentiasa menyantuni kehendak rakyat sebaik mungkin dan kalau tak boleh, kita akan beri penjelasan sebaik-baiknya dan sebab itu pada saya memang kalau boleh saya nak terus berkhidmat tetapi syarat berkhidmat itu setakat 60 tahun, maka saya perlu mengundur diri dan saya percaya pengganti saya akan terus beri dukongan yang kuat kepada kepimpinan yang ada terutama kepada Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Media Selangor sempena hari persaraannya di Jabatan Perbendaharaan Negeri Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam.

Sementara itu, ketika ditanya tentang rahsia atau petua yang menyebabkan jabatan lain begitu senang memberikan kerjasama kepada Jabatan Perbendaharaan, Noordin mendedahkan jabatannya mengamalkan sikap tidak sombong walaupun memiliki bidang kuasa yang penting.

“Saya bukan mahaguru dalam bidang pengurusan, cuma pengalaman dan pengetahuan yang ada kita boleh terapkan untuk membantu jentera pentadbiran awam ini terus mendukung program pembangunan negeri dan satu perkara penting yang perlu ditekankan adalah supaya kita terus adakan hubungan bukan sahaja dengan ‘stakeholder’ tetapi juga golongan sasar yang kita nak bantu.

“Perhubungan ini tidak semestinya setiap waktu tetapi hendaklah berterusan dan dengan cara terbaik kita melayani mereka ini sebagai insan yang memerlukan bantuan dan perhubungan juga perlu dilaksanakan dengan jabatan lain di mana kita di perbendaharaan ini tidak boleh menyombong diri walaupun kita ada kuasa dan kawalan tetapi sebaliknya perlulah digunakan dengan sebaiknya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :