BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri jadi pemudahcara pinjaman perumahan diluluskan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 DIS: Kerajaan Negeri mengambil pelbagai langkah dalam memastikan kemudahan permohonan pembiayaan perumahan Taman Selayang Mutiara oleh penduduk asal Bukit Botak diluluskan Maybank Seksyen 14 Shah Alam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Zaidy Abdul Talib, berkata, antaranya termasuklah langkah Kerajaan Negeri melabur dalam simpanan tetap dengan nilai pelaburan RM10 juta di Maybank Seksyen 14 Shah Alam bagi meyakinkan dan mewujudkan suasana menang-menang antara pihak bank, pembeli dan Kerajaan Negeri.

“Secara tak langsung ini juga menjadi jaminan kepada pihak bank akan komiten Kerajaan Negeri untuk membantu peminjam tadi.

“Bagaimanapun bank tidak perlu bimbang kerana nilai semasa hartanah taman ini jauh lebih tinggi berbanding pinjaman oleh pembeli di mana pada nilai semasanya adalah RM400,000 berbanding RM99,000 harga ditawarkan kepada pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah PKNS kepada 10 pemilik rumah yang mendapat pinjaman Maybank di Taman Selayang Mutiara di sini, semalam.

Jelasnya, beliau di peringkat Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer turut menjalankan pelbagai usaha lain bagi memastikan pembeli rumah itu mendapat kelulusan pihak bank.

Katanya, selain membantu menyediakan dokumen beliau turut menyedikan bas untuk membawa peminjam ke Maybank.

Katanya lagi, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Maybank ini membolehkan seramai 97 pembeli kediaman Taman Selayang Mutiara membuat pinjaman dengan Maybank dan hingga kini lebih 50 permohonan telah diluluskan.

=EZY=


Pengarang :