SELANGOR

KP Imigresen terima anugerah tokoh Khalid Al-Walid

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 DIS: Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Seri Mustafar Ali, 58, menyifatkan anugerah tokoh Khalid Al-Walid diterima sempena Sambutan Maudilur Rasul peringkat Selangor tahun ini, sebagai pemangkin untuk berkhidmat lebih cemerlang.

Sambil menjunjung kasih dan berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Kerajaan Negeri, beliau berkata, penganugerahan diberikan kepadanya adalah atas tugasan mewakili Jabatan Imigresen Malaysia.

“Bagi pihak jabatan, saya menerima anugerah ini sebagai satu pemangkin dan motivasi bagi melaksanakan tugas dengan lebih baik dan beterusan.

“Kita akan terus berusaha menjaga keselamatan negara khususnya bersih daripada kebanjiran pendatang asing tanpa izin,” katanya yang menerima anugerah tokoh Khalid Al-Walid daripada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mewakili Sultan Selangor.

Sementara itu, penerima anugerah tokoh Umar Abd Aziz, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Dato’ Mukhyuddin Ibrahim, 59, turut melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor serta Kerajaan Negeri.

Beliau menjelaskan anugerah diterima adalah penghargaan tinggi dan memberi makna besar dalam hidupnya di sepanjang perkhidmatan dalam sektor awam.

“Say berterima kasih kepada semua atas penganugerahan ini dan ia memberi perangsang serta semangat untuk mencurah khidmat bakti bagi memikul tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, penerima lain ialah, Faris Akmal Aminuddin, 17, bagi anugerah Saidina Ali; Datin Aminah Zakaria, 73, (Saidina Khadijah) dan Md Sahari Abdullah, 65, (Imam Al-Ghazali).


Pengarang :