Selangorkini
SELANGOR

KSSB laksana CSR bantu pelajar Orang Asal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 DIS : Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) meraikan masyarakat Orang Asal dengan memberikan baju seragam sekolah, baru baru ini.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam KSSB, Abdul Wahab Nordin berkata, pemberian baju seragam sekolah itu bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan kemasukan sesi persekolahan 2018.

“Program CSR berkenaan dilaksanakan di beberapa kawasan kampung masyarakat Orang Asal yang berhampiran dengan tapak operasi KSSB di negeri ini.

“KSSB sentiasa berusaha bertanggungjawab dalam mengimbangi pertumbuhan perniagaan dan pembentukan nilai masyarakat di mana sahaja kami beroperasi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Abdul Wahab berkata, pelaksanaan program CSR itu untuk merangsang sosioekonomi yang berterusan dengan memberi penekanan terhadap aspek pendidikan, pembangunan masyarakat dan alam sekitar.

Terdahulu, KSSB melaksanakan program CSR penyerahan baju sekolah membabitkan kawasan Kampung Orang Asal Sungai Garing, Rawang (tujuh orang), Kampung Orang Asal Bukit Serdang, Banting (27 orang), Kampung Kachau Luar dan Dalam Hulu Semenyih (23 orang), Kampung Orang Asal Bukit Tadom (82 orang) dan Kampung Orang Asal Dengkil, Bukit Tampoi (27 orang).

Program CSR KSSB itu berlangsung selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Disember lalu.

Manakala, Abdul Wahab berkata, peruntukan program CSR itu adalah hasil negeri untuk rakyat dengan KSSB bersama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) sentiasa menyediakan insentif bersesuaian demi menyantuni masyarakat Orang Asal khususnya.

“Ianya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri supaya tidak meminggirkan masyarakat Orang Asal terutamanya di negeri ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :