Selangorkini
SELANGOR

Lebih 50,000 dijangka hadir program Gempak Selangor & Ambang 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 DIS : Lebih 50,000 dijangka hadir program Gempak Selangor Generasi Berimpak dan Ambang 2018 yang berlangsung selama dua hari sejak semalam sehingga tengah malam ini di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Penolong Setiausaha (Pembangunan Sosial), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, Daniyal Mat Jusoh berkata, program berkenaan adalah anjuran Jawatan Kuasa Tetap Pendidikan Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi.

“Program ini turut memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan sosial dimana ianya amat bermanfaat buat pengunjung yang hadir.

“Malah, program yang dilaksanakan setiap tahun ini membabitkan pelbagai pameran daripada syarikat swasta dan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Pegawai Psikologi , Jabatan Perkhidmatan Awam, Harzurita Hassan berkata, program sebegini sememangnya amat bagus dilaksanakan dan rakyat juga mendapat pelbagai manfaat.

“Hari ini saya dijemput untuk mengadakan sesi ceramah kepada pengunjung program dengan tajuk pemilihan kerjaya yang betul selepas belajar.

“Penting untuk ibu bapa dan anak-anak mengetahui bidang apa perlu diambil untuk mereka menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Harzurita berkata, banyak kesan buruk akan dihadapi pelajar sekiranya mereka tersalah mengambil jurusan yang tidak diminati.

“Alhamdulillah sesi ceramah saya tadi berlangsung dengan baik dan berharap supaya ibu bapa serta anak-anak dapat membuat pilihan yang tepat,” katanya.

Selain itu, antara pengisian program adalah Selangor Job Fair 2017, Smart Teachers Motivational Seminar, pertandingan catur, pertandingan nasyid, pertandingan mewarna, pertandingan karaoke (tema kemanusiaan), Parenting Skill dan cabutan bertuah.

Malah, malam ini turut diadakan konsert Gempak Selangor bersempena dengan ambang tahun baru 2018 menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Haqiem Rusli, Syamel, Siti Nordiana, UNIC, Black dan ramai lagi.

=EZY=


Pengarang :