Selangorkini
SELANGOR

MPSJ terima Anugerah Khas KTP

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menerima pengiktirafan Anugerah Khas ‘Knowledge Transfer Program’ (KTP) Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bagi kategori Komuniti di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, anugerah itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Ros bersempena Persidangan Kebangsaan Keempat Pemindahan Ilmu pada 11 Disember lalu.

“Selaras dengan kehendak Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 (di bawah Teras 5-Pembentukan Masyarakat Madani), MPSJ telah melibatkan diri secara aktif di dalam Program KTP Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bersama rakan sinergi iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam pembangunan komuniti Bandar Hijau Serdang,” katanya.

Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sedang melaksanakan KTP di bawah agenda pembangunan kapasiti negara.

Program itu merupakan landasan interaksi dalam kalangan akademia, pelajar, industri, swasta, agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan komuniti awam bagi tujuan pemindahan dan perkongsian ilmu.


Pengarang :