Selangorkini
NASIONAL

Peguam AS harap bertemu PM dan TPM bincang bebas Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 DIS: Penasihat Undang-undang Antarabangsa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kimberley Motley berharap dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyampaikan mesej keperluan pembebasan serta merta dengan tanpa syarat kepada Anwar.

Peguam hak asasi berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Kuala Lumpur pagi tadi itu berkata, pembebasan serta merta itu diperlukan ekoran keadaan kesihatan Anwar yang memerlukan rawatan lebih sesuai tanpa sebarang sekatan.

“Beliau sudah dipenjarakan selama 34 bulan dan hanya enam bulan sahaja lagi untuk dibebaskan dan saya akan meminta Kerajaan Malaysia memberikan pembebasan tanpa syarat serta merta memandangkan keadaan kesihatan Anwar yang memerlukan rawatan khusus,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum itu beliau sudah menghantar surat kepada Najib dan Ahmad Zahid untuk membolehkan pertemuan yang dijangka bakal disertai Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad itu diadakan esok.

Katanya, pembebasan Anwar sangat penting bagi mendapatkan rawatan bersesuaian dengan keperluan pemulihannya.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dalam sidang media sama berkata, Anwar yang lebih sebulan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur wajar dibebaskan untuk dapatkan rawatan pemulihan lebih sempurna berbanding dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh.

“Anwar hanya tinggal enam bulan tempoh hukuman tetapi di penjara kemudahan sangat terhad, Anwar tidak boleh berjalan seperti yang disarankan Doktor,” katanya.

Pada 22 September lalu, konvoi kenderaan yang membawa Anwar untuk menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) terbabit dalam kemalangan di Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini.

Kemalangan itu menyebabkan Anwar terpaksa menjalani pembedahan pada bulan lalu.


Pengarang :