Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Persempadanan semula: Kerajaan Negeri teruskan rayuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 18 DIS: Mahkamah Rayuan membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan persempadanan semula di Selangor selepas dua daripada tiga hakim memutuskan untuk mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi pada 7 Disember lalu.

Bagaimanapun, Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan rayuan bagi memastikan pengundi di negeri itu mendapat hak seperti dijamin perlembagaan.

“Memang mengecewakan, namun apa yang menarik perhatian di mana keputusannya tidak sebulat suara kerana saya percaya Yang Arif Datuk Rhodzariah Bujang, hakim wanita daripada Sarawak menemukan beberapa merit dalam hujah kita.

“Selagi proses mahkamah sebarang keputusan adalah bersifat akademik namun hak pengundi adalah realiti dan ini memang terjadi di Selangor di mana sesuatu sedang berlaku bagi memastikan Perdana Menteri dan Barisan Nasional menang di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus perbicaraan peringkat rayuan selesai dijalankan di Istana Kehakiman Putrajaya di sini, hari ini.

Dua lagi hakim yang menerima permohonan SPR ialah Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Yaacob Md Sam.

Jelasnya tindakan SPR meneruskan persempadan semula di Selangor dilihat seolah-olah percubaan mengatasi Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, SPR juga sebenarnya tidak tergesa-gesa bagi menyelesaikan persempadanan semula ekoran Mahkamah Tinggi sebelum ini memberikan tempoh sehingga September 2018.

Katanya lagi, di Selangor dianggarkan lebih 1,000 pengundi memfailkan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula di negeri itu.

=EZY=


Pengarang :