NASIONAL

Reformasi akta dana politik perlu holistik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 DIS: Penggubalan semula akta dana awam untuk parti politik perlu bersifat holistik dengan memberi tumpuan aspek ketelusan dan integriti.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia perlu merangkumi dua faktor utama yang memerlukan perubahan secara jelas dan menyeluruh bagi menghalang wujudnya salahlaku penggunaaan dana awam bagi tujuan parti politik.

“Ia tidak cukup sekadar dengan hanya penggubalan undang-undang itu sahaja, tetapi perlu diubah daripada aspek budaya, soal sikap, amalan dan perilaku individu itu sendiri.

“Untuk memastikan ianya berdiri secara holistik, perundangan lain juga perlu digubal contohnya penggubalan undang-undang atau akta melibatkan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Dana Awam untuk Parti Politik di Auditorium, Institut Darul Ehsan, hari ini.

Mengakui perkara sama, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mencadangkan perubahan Reformasi sumbangan dana politik yang mengehadkan kepada parti politik dan bukan individu tertentu.

“Kita mengakui masih wujudnya kelompongan itu, namun akhirnya dalam manifesto Pakatan Harapan yang diumumkan pada Perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi menyaksikan Pakatan tampil dengan cadangan baru lebih holistik.

“Pendekatan terbaik termasuklah menetapkan setiap penyumbang terhad kepada maksimum RM50,000 sahaja dan sebarang sumbangan melebihi RM10,000 mesti direkodkan.

“Selain itu, sumbangan politik hanya bleh dibuat oleh individu dan bukan badan-badan korporat untuk membanteras pengaruh korporat terhadap pemimpin,” katanya.

Terdahulu, penganjuran Forum Dana Awam dilaksanakan Insitut Darul Ehsan bagi mengupas kemelut dan isu pemberian dana awam bagi tujuan kepentingan politik individu tertentu yang berlaku kini.

Ia susulan pendedahan media antarabangsa mengaitkan wujudnya sentimen penyelewengan dana awam dan sumbangan politik terhadap pimpinan utama negara yang dilabel sebagai, Malaysian Official Number 1 (MO1).

=EZY=


Pengarang :