Selangorkini
SELANGOR

Selangor salur RM200,000 bina tebing Sungai Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 DIS: Sejumlah RM200,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menangani isu runtuhan tebing di Sungai Gombak, baru-baru ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, peruntukanitu bagi melaksanakan kerja pembaikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Katanya, ia sekali gus menafikan dakwaan media Kerajaan Persekutuan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kononnya pentadbiran Selangor gagal menangani isu terbabit.

“Pada September lalu, JPS Gombak siap melaksanakan kerja pemulihan, pada tebing runtuh dengan menggunakan kaedah pembinaaan “Armour Rock” membabitkan kawasan berisiko dan orang ramai.

“JPS Gombak juga menyiapkan spesifikasi kerja serta kawasan baru yang terbabit untuk dibaik pulih seperti Jalan Mohd Saad dan Jalan Kunci Air,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, faktor hujan lebat sejak November lalu menyebabkan hakisan dan runtuhan lebih teruk, di beberapa lokasi, di tebing Sungai Gombak.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, banjir kilat itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya empat rumah, di penempatan Batu 7/12 Gombak dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Antara kawasan terjejas adalah Taman Rawiyah Jaya, di Batu 8 dan Batu 9; Kampung Sungai Pusu serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) di Gombak, lapor Berita Harian.


Pengarang :