BERITA UTAMA SELANGOR

SPR Boneka BN, rakyat jangan tertipu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 DIS: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan pendengaran bagi bantahan cadangan persempadanan semula pilihan raya Selangor, bermula 27 Disember ini adalah tidak wajar.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, tindakan SPR itu menyusahkan pembantah untuk hadir ke sesi pendengaran kerana minggu terakhir Disember merupakan musim cuti kritikal.

Katanya, ia merupakan masa bagi kebanyakan orang bercuti bersama keluarga, bersiap memulakan sesi persekolahan dan menyambut Hari Krismas.

“Tindakan SPR itu jelas dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dengan notis terlalu singkat dalam musim cuti panjang, meskipun SPR mempunyai tempoh sehingga September 2018 untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

“Ia juga menandakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir dan paling membimbangkan ialah, kita sekali lagi akan menyaksikan proses pilihan raya kotor dan tempang dalam sejarah negara,” katanya dalam kenyataan.

Pada 18 Disember lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan SPR meneruskan sesi pendengaran siasatan tempatan berhubung cadangan persempadanan semula di Selangor.

Shao Loong berkata, tindakan SPR itu secara langsung menunjukkan terdapat campur tangan politik memanipulasi proses pilihan raya untuk terus kekal menguasai negara.

Katanya, cadangan persempadanan semula yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) juga merupakan bukti BN gagal menyaingi pentadbiran Selangor daripada aspek urus tadbir awam dan pencapaian dasar.

“SPR yang seharusnya bebas dari menjadi boneka BN. Rakyat Malaysia diseru supaya tidak tertipu dengan helah yang merampas hak pengundi.

“Dalam PRU14, semua rakyat perlu bersatu memastikan kemenangan adalah milik rakyat, bukannya milik kleptokrat,” katanya.


Pengarang :