Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Kedah dahului senarai penerima darjah kebesaran Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

FOTO HAFIZ OTHMAN

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mendahului senarai 103 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-72 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Sultan Sallehuddin yang dimashyurkan sebagai Sultan Kedah baru, pada September lalu dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK) dalam majlis istiadat dilangsungkan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini.

Majlis turut disertai DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Istiadat turut menyaksikan Sultan Sharafuddin berkenan menganugerahkan Darjah Kelas Pertama – Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiplie Kassim dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali pula menjadi penerima tunggal Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran Dato’ Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia bagi wanita.

Timbalan Mufti Selangor, Anhar Opir; Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emiratus Datuk Dr Hassan Said dan Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Noraida Mohd Yusof antara sembilan penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Manakala penerima seterusnya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Time Press (M) Berhad, Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid dan Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda N Ganesh antara sembilan penerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Dua penerima darjah kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS) iaitu darjah dan bintang Kebesaran Sukan Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah Ketua Jurulatih Bowling, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Kenny Ang Ah Tee dan Atlet Karate, MSN Selangor, Syakilla Salni Jefri Krisnan @Krisnanmurthy.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat dan bekas Ketua Polis Daerah Klang Selatan (kini Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur), Asisten Komisioner Alzafny Ahmad antara 13 penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS).

Seramai 15 individu menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) termasuk Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Sani Harul antara 20 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS).

Seramai 20 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) termasuk Ketua Polis Balai, Balai Polis Klang, Asisten Superintendan Mohammad Fadli Minhat.

Baginda juga berkenan menganugerahkan Bintang Kegemilangan Sukan Selangor (BKS) kepada empat atlet MSN Selangor dan tujuh Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) kepada penjawat awam, di Selangor.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin serta pimpinan Kerajaan Negeri juga tetamu kehormat lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam satu kenyataan menyatakan, sebanyak 1,939 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 1,211 permohonan untuk pencalonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran, manakala 728 borang permohonan lagi bagi pencalonan pingat Negeri Selangor.

“Dari 1,211 pencalonan, hanya 21 penerima (kira-kira 0.017 peratus) sahaja terpilih untuk menerima Darjah dan Bintang Kebesaran iaitu dua penerima SPMS dan seorang penerima SSIS, manakala 18 penerima pula bagi Darjah Kebesaran DPMS dan DSIS.

“Semua penerima melepasi tapisan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.


Pengarang :