BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor harap rakyat guna LRT dan MRT dengan baik

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berpuas hati dengan perkhidmatan rel urban disediakan dan berharap rakyat menggunakannya secara berhemah.

Baginda melahirkan rasa bangga selepas sesi lawatan dan tinjauan perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) dan Tren Aliran Transit Massa (MRT) dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), hari ini.

“Beta dapat lihat perkhidmatan MRT dan LRT dibina kerajaan sebagai usaha baik dan membanggakan.

“Beta sendiri merasai keselesaan ketika menaikinya dan kagum dengan teknologi serta sistem diguna pakai.

“Justeru, rakyat harus menghargai dan tidak melakukan vandalisme atau kerosakan kepada kemudahan disediakan,” titah baginda.

Sultan Selangor turut berharap rakyat akan terus menggunakan pengangkutan awam itu dengan sebaiknya, sentiasa menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah merata-rata di kawasan stesen juga di dalam tren.

“Semoga perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien sebegini akan terus memberi manfaat kepada kehidupan rakyat,” titah baginda.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rombongan diraja turut menyertai Sultan Sharafuddin dalam program lawatan itu.

Baginda dan rombongannya memulakan sesi lawatan, di Stesen LRT Glenmarie dan singgah di beberapa stesen MRT juga monorel.

Turut bersama dalam program itu, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz yang memberi penerangan berkenaan operasi rel urban dikendalikan Prasarana.


Pengarang :